Bismillah Hirrahman Nirrahim ...
Assalamualaikum WBT dan Salam Sejahtera

Edisi Julai

Saudara/I yang dikasihi sekalian, Separuh pertama tahun 2009 kini sampai ke nokhtahnya, dan kini beralihlah kita ke separuh kedua yang pasti menjanjikan pelbagai onak dan liku yang harus ditempuhi.

 

 
 

Biar sepahit dan sesukar mana, berundur tidak sekali. Sebaliknya saya yakin dan percaya anda semua akan menongkah setiap cabaran dan halangan dengan semangat yang membara di minda.

Melangkah ke separuh kedua ini, kita mulakan dengan kemasukan "anak-anak" yang bakal bergelar mahasiswa/mahasisiwi UniMAP. Kesemua mereka ini rata-ratanya lepasan SPM/STPM dan sudah pasti akan berdepan dengan pelbagai kejutan dan situasi yang tidak pernah dialami sepanjang di alam persekolahan.

Maka, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk membimbing dan memberikan panduan yang terbaik agar anak-anak ini tidak tersadung langkah jauh sekali tersasar haluan dalam menggali ilmu di menara gading ini.

Pinta saya, janganlah kita semua menyombong diri dan membiarkan sahaja anak-anak ini mengikut langkah dan haluan sendiri – kelak nanti kita yang menyesal tak berkesudahan. Apapun saya mengharapkan apa jua yang anda lakukan ini biarlah ikhlas atau sepenuh "JIWA".

Menurut Kamus Dewan, "JIWA" membawa banyak erti jika dilihat dari pelbagai aspek yang berbeza. Misalnya, jika kita melihat dari sudut pengorbanan, JIWA membawa maksud daya usaha yang bersungguh-sungguh dan jika dinilai dari aspek hubungan ia memberikan erti sepakat dan hubungan yang erat.

Apabila perkataan JIWA ditambah dengan imbuhan menjadi MENJIWAI ia pula membawa pengertian memberi semangat atau memberi sepenuhnya tanpa sebarang ragu. Maka saya kira perkataan ini sangat bertepatan dengan apa yang saya harapkan dari seluruh warga Kerja UniMAP dan juga para pelajar.

Untuk melakukan apa jua kerja dengan sepenuh JIWA raga, kita perlu berubah.  Baik persekitaran tempat kerja, cara melaksanakan tugas mahupun diri kita sendiri, perlulah sentiasa diperbaiki dari semasa ke semasa. Masa berubah, persekitaran berubah, selera juga pastinya berubah.

Apa yang penting ialah kita perlu berubah ke tahap lebih baik. Dan salah satu yang utama perlu kita ubah ialah membina fikiran positif kerja. Ramai yang beranggapan ia sesuatu yang berat untuk dilaksanakan, tetapi bagi saya. ia tidak seberat mana, cuma perlu kerap diulang-ulang dan anda perlu memberikan fokus dari aspek fikiran, pandangan, pendengaran dan pengamatan pada setiap perkara yang baik-baik. 

Jika berjumpa perkara yang negatif atau tidak baik. Apa yang perlu kita lakukan ialah untuk untuk tidak melayan, tidak memikir tentangnya dan melupakannya saja. Memang diakui, hanya segelintir sahaja dari kita mampu melaksanakannya dengan cukup bagus. Maka sebab itu jugalah mengapa dalam 10 orang, hanya ada 1 orang berfikiran positif.

Dan atas sebab itulah, anda perlu menjadi lain daripada yang lain. Orang sekeliling mungkin akan memandang serong pada anda, kerana cara anda berfikir, melihat sesuatu dan bercakap tidak serupa dengan kebanyakan orang. Tetapi itulah harga yang perlu dibayar untuk menjadi seorang yang positif.

Percayalah, setiap apa yang kita lakukan perlu dengan sepenuh JIWA dan niat yang positif - menerima pelajar baru dengan niat positif, melaksanakan tugas dengan sepenuh hati serta membimbing pelajar baru dengan kesleuruhan JIWA raga dan percayalah, segala pengorbanan dan usaha anda itu akan dibayar oleh Allah.

" DINAMISME BARU, WAJAH BARU "

Sekian,

WASSALAM

Dari Meja Naib Canselor
BRIGEDIER JENERAL DATO' PROFESOR DR. KAMARUDIN HUSSIN

1 Julai 2009

 

 
Copyright controlled by Pejabat Naib Canselor UniMAP 2007
All right reserved