Bismillah Hirrahman Nirrahim ...
Assalamualaikum WBT dan Salam Sedekad Gemilang, UniMAP DI Hati

Edisi Mei

Bersih atau Kotor?

 

 

 

 
 

Sorotan berita menunjukkan dalam tempoh masa menjelang perhimpunan Bersih 3.0, universiti seolah-olah menjadi medan politik partisan yang selama ini tidak pernah berlaku di negara kita. Telah terrcetus perbalahan demi perbalahan melalui pelbagai media, terutamanya media cetak dan elektronik. Sepanjang perbalahan berlangsung, hilanglah rasa hormat-menghormati antara satu sama lain, kerana masing-masing hanya berminat menunjukkan kehebatan diri dan ideologi yang dipegangi. Dalam medan cantas-mencantas itu, semangat perpaduan yang telah sekian lama dibina hilang lenyap. Yang dicantas itu bukan sekadar dalam kalangan pelajar semata-mata, tetapi melibatkan juga pensyarah dan staf universiti, khususnya para pentadbir. Kadang kala, dalam bahang kepanasan, keluarlah perkataan-perkataan yang tidak seharusnya diucapi dan didengari.

Maka tidak hairanlah apabila perhimpunan yang diadakan di Kuala Lumpur berlangsung baru-baru ini, kekecohan yang timbul begitu teruk sekali. Di Negara yang aman damai ini, bibit-bibit keganasan telah kelihatan. Rakaman yang dimainkan berulang-ulang kali di kaca TV dan juga di Youtube menunjukkan bangsa Malaysia ini rupa-rupanya tidak kurang ‘hebat’ nya mempamerkan perangai jijik menjerit-jerit, memaki-hamun, memukul, menumbuk, menjahanamkan harta benda, serta mencederakan orang lain.

Adakah ini cara terbaik menunjukkan ketidak-puasan hati kita? Perlukah menjatuhkan maruah diri dan negara sehingga begitu rupa sekali? Paling menyedihkan, ada juga antara mereka yang berhimpun tempoh hari yang terdiri dari warga universiti. Sesungguhnya, perhimpunan Bersih 3.0 memberi impak yang besar kepada institiusi pengajian tinggi termasuk UniMAP. Ada seorang dua warga UniMAP yang terpedaya dengan agenda pihak terbabit. Tanpa berfikir panjang, mereka menyertai pihak yang tidak bertanggungjawab itu, sekali gus mencemar nama baik Universiti ini. Jelaslah mereka ini cetek akal dan tidak faham perjuangan murni yang dilaksanakan sekian lama untuk membangunkan Negara menjadi aman, makmur, dan maju jaya.

Cuba fikirkan. Kalaulah warga universiti berpolitik partisan, apa akan terjadi kepada Senat dan pengurusan universiti pada masa akan datang? Sudah terbukti di tempat lain bagaimana pelajar dan pensyarah yang berpihak kepada parti politik yang tidak sealiran bergaduh secara terang-terangan. Malah ada juga kes di mana pensyarah menggagalkan pelajar atas dasar ketidak-sealiran fahaman politik. Adakah perkara sebegini hendak dibenarkan berlaku di sini?

ajar diingatkan bahawa visi dan misi institusi pengajian tinggi adalah untuk melahirkan modal insan yang menyumbang kepada pembangunan negara. Dari itu seharusnyalah pelajar memberi fokus yang tidak berbelah bagi kepada pelajaran. Politik partisan boleh menunggu beberapa tahun lagi. Selagi di universiti, tugas pelajar adalah belajar. Sekiranya hendak berpolitik, nescaya pelajaran akan terabai, dan cita-cita untuk bergraduasi mungkin perlu dibuang begitu sahaja. Lihatlah prestasi akademik mereka yang berpolitik – rata-rata mereka ini mempunyai gred yang rendah, yang menunjukkan bahawa aktiviti politik yang mereka ceburi itu menjadi gangguan kepada pembelajaran.

Ingin saya tegaskan bahawa matlamat penubuhan universiti mesti dikekalkan, iaitu untuk melahirkan graduan yang tinggi kemahiran berfikir , bertindak dengan berlandaskan fakta dan mempunyai nilai jati diri yang tinggi. Selagi saya berada di kerusi ini, selagi itulah saya tidak teragak-agak mengambil tindakan ke atas pelajar atau staf yang mengotori minda dan cuba menyeret nama universiti ke kancah yang hina.

Tugas kita di universiti amat berat sekali – iaitu membina nusa dan bangsa melalui penghasilan modal intelektual. Dari itu kita tiada masa melayan politik kotor yang didalangi pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Seluruh jiwa dan raga kita harus ditumpukan kepada agenda pembangunan Negara, dan bukan menjahanamkannya sebagaimana yang cuba dilakukan oleh “Bersih”, atau lebih tepat lagi, “Kotor”.

 

"SEDEKAD GEMILANG, BERTEKAD TERBILANG"

Sekian, WASSALAM

Dari Meja Naib Canselor
BRIGEDIER JENERAL DATO' PROFESOR DR. KAMARUDIN HUSSIN

1 Mei 2012

 

 
Copyright controlled by Pejabat Naib Canselor UniMAP 2010
All right reserved