Universiti Malaysia Perlis
     
Home News Activities Program Baktisiswa Perdana III
Program Baktisiswa Perdana III
Penglibatan secara langsung PPKAS dalam penganjuran program Baktisiswa Perdana III (BSP3) pada 22 – 24 Julai 2009 telah memberikan pengalaman yang penuh bermakna. Program ini adalah salah satu daripada program '7 Pillars + i’ yang merupakan kursus tanpa kredit yang perlu dilengkapi para penuntut UniMAP untuk bergraduasi. Keseluruhannya, seramai hampir 2,000 pelajar dari sesi pengambilan 2009/10 telah ditempatkan sebagai anak angkat di lebih 50 kampung sekitar negeri Perlis menerusi program BSP3.

Seramai 150 orang penuntut PPKAS dari program ijazah Kejuruteraan Alam Sekitar dan ijazah Kejuruteraan Bangunan yang berbilang bangsa  telah ditempatkan di empat buah kampung. Kampung-kampung yang terlibat adalah Kampung Pekan Simpat Empat dan Kampung Batas Lintang yang terletak dalam DUN Simpang Empat, dan Kampung Tebuk dan Kampung Chermai Jelempok dalam DUN Tambun Tulang. Lebih 80 keluarga angkat telah berbesar hati menerima kunjungan para penuntut PPKAS untuk menginap dan mengalami pengalaman tinggal di kampung-kampung tersebut selama dua malam.

Pelbagai aktiviti diatur sepanjang program BSP3 berlangsung melibatkan penduduk kampung dengan penglibatan anak-anak angkat dan staf PPKAS yang bertindak sebagai penyelaras program. Antaranya , gotong-royong membersihkan masjid dan dewan orang ramai, sesi ceramah, kelas bimbingan untuk anak-anak kampung yang bersekolah, sukaneka, pemeriksaan kesihatan dan persembahan kebudayaan. Jelas kelihatan semangat dan kesungguhan di riak wajah setiap yang terlibat dalam menjayakan setiap aktiviti yang dijalankan.

Semasa program BSP3 berlangsung di mana warga PKKAS berkampung, Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Dato’ Prof. Kamarudin Hussin sempat meluangkan masa mengunjungi dan beramah mesra dengan penduduk-penduduk kampung. “Suka saya selitkan di sini sebagai mahasiswa, setiap pelajar mestilah menganggap penganjuran program ini bukan sekadar mebuang masa sebaliknya saya amat berharap agar anda semua menjadikan pengalaman untuk menyertai program seumpama ini sebagai peluang yang mungkin tidak dapat diperolehi di masa akan datang sekali gus terus bersemangat menjadi lebih baik dari sehari ke sehari,” ujar beliau.

Menurut Kamarudin lagi, penganjuran aktiviti seperti BSP3 itu juga diharap dapat membantu melahirkan bakal-bakal jurutera yang berkualiti tinggi, serba boleh dan berdaya saing. Selain itu, katanya lagi, program tersebut juga merupakan medium UniMAP dalam menerajui usaha membentuk minda kelas pertama di kalangan masyarakat kampung sebagai salah satu tanggungjawab sosial untuk membantu kerajaan negeri.“Kita juga melihat penganjuran program ini dapat menyokong konsep “1Malaysia” yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui perkongsian budaya dikalangan pelajar yang berbilang kaum,” katanya lagi.

Lebih manis lagi, program BSP kali ini telah mencipta rekod baru dalam Malaysian Book of Record sebagai penyertaan aktiviti keluarga angkat terbesar yang pernah diadakan. Jutaan penghargaan diucapkan kepada semua yang terlibat dalam penganjuran program ini terutamanya kerajaan negeri Perlis, JKKK dan para penduduk Kampung Pekan Simpang Empat, Kampung Batas Lintang, Kampung Tebuk dan Kampung Chermai Jelempok.
 

Staff Login



Online Members

We have 1 guest online