Universiti Malaysia Perlis
     
Home News Articles Catatan Kembara Itali
Catatan Kembara Itali

Kesempatan menghadiri sebuah bengkel di Trieste, Itali digunakan penulis untuk berkunjung ke beberapa tempat menarik di negara tersebut. Pada mulanya, perkhabaran yang diperoleh pada Jun 2009 menyatakan penulis telah diterima untuk menyertai bengkel tersebut sememangnya amat mengujakan. Namun perasaan ini hanyalah sementara. Apabila disemak semula tempoh bengkel itu berlangsung iaitu dari 7 sehingga 25 September 2009 membawa maksud bahawa penulis bakal menghabiskan separuh daripada bulan Ramadan dan menyambut Aidilfitri di perantauan.

Berseorangan di bumi asing dan menjalani ibadah puasa seterusnya berhari raya tanpa keluarga dan sahabat handai di sisi menyebabkan penulis sedikit goyang. Tidak mudah untuk mengambil keputusan untuk terus menyertai bengkel tersebut. Peluang seperti ini tidak datang sebegitu mudah apabila difikirkan sedalamnya dan syukur keluarga juga memberi keredhaan. Setidak-tidaknya pengalaman yang bakal diharungi dapat memberikan cabaran dan kelainan jauh dari lazimnya.

Pertama kali menjejakkan kaki di benua asing

Merentasi zon waktu, penulis cuba untuk menghabiskan masa dengan melelapkan mata. Jemu menonton tayangan di kaca `monitor’ yang disediakan di setiap tempat duduk sewaktu berjaga, kebanyakan masa dihabiskan melihat di mana pesawat sedang berada di skrin paparan yang melekat di dinding hadapan.

Setelah mengharungi penerbangan selama hampir 11 jam, pesawat dinaiki penulis mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Leonardo Da Vinci atau lebih dikenali sebagai Lapangan Terbang Fiumicino di Rome. Ketika itu waktu di Itali tujuh jam lambat dari waktu di Malaysia. Membandingkan keadaan di Fiumicino, penulis tidak lagi merasa was-was akan kebanyakan pengunjung asing yang memuji KLIA sebagai sebuah lapangan terbang yang cantik binaannya dan moden lagi berprestij.

Destinasi terakhir penulis adalah Trieste, sebuah bandar yang terletak di bahagian timur laut Itali, tempat berlangsungnya bengkel yang bakal disertai. Penulis berpeluang menghabiskan dua malam di ibu negara Itali itu sebelum menaiki pesawat yang telah ditempah ke Trieste. Keseorangan, fikiran menjadi kabur tentang arah tujuan dan kaedah pengangkutan ke tempat dituju sejurus melangkah keluar dari terminal. Menyedari bahawa tidak perlunya untuk mengejar masa, penulis mengambil masa di luar terminal untuk memerhati, berfikir dan bertanyakan maklumat. Berseberangan dengan terminal tersebut terletaknya stesen keretapi yang menghubungkan Fiumicino dengan pusat bandar Rome.

Rome: Sebuah kota yang abadi

Di stesen keretapi Fiumicino, penulis berkenalan dengan seorang pemuda yang berwajah Asia yang juga mengembara bersendirian ala backpackers. Tasuke Nanya, pemuda berasal dari Jepun itu menceritakan ini juga pertama kali baginya menjejakkan kaki di benua Eropah. Penuntut jurusan perguruan ini akan menghabiskan tiga minggu mengembara di sekitar Itali dan Sepanyol sebelum pulang ke tanahairnya untuk memulakan semester pengajian yang baru. Tasuke dan penulis bersepakat untuk bergandingan mengembara semasa berada di Rome.

Perjalanan keretapi dari Fiumicino ke ibu kota Rome mengambil masa lebih kurang 40 minit. Setibanya di Stesen Roma Termini di ibu kota Rome, penulis bergegas mencari tempat penginapan di kawasan berdekatan stesen berkenaan. Rome terkenal sebagai sebuah destinasi pelancongan bertaraf dunia. Ketika itu adalah musim panas sekitar 22–32C dan inilah `high season’ bagi kegiatan pelancongan. Terdapat banyak penginapan bajet rendah ala `backpackers’ di bandar Rome. Kadar penginapan boleh didapati serendah 20€ semasa `low season’ dan 30€ semasa `high season’ seorang bagi sebuah bilik hostel yang memuatkan tiga ke empat katil.

Kesempatan menghabiskan dua malam di Rome sebelum bertolak ke Trieste digunakan untuk mengunjungi lokasi-lokasi menarik di Rome antaranya Colloseum, Forum dan Vatican City. Kota Rome amat kaya dengan monumen dalam bentuk tugu, plaza, kolam pancuran, kuil dan gereja peninggalan dari tamadun Rom kuno sehinggalah ke zaman pembaharuan. Bangunannya yang berteraskan seni bina di era Renaissance dengan seni ukiran dan lukisan yang halus adalah sangat menakjubkan dan mengagumkan. Tiada menara pencakar langit di bandar Rome. Aturan blok-blok bangunan yang padat menyajikan suasana yang sayu tetapi tenang dan tempat teduh untuk pejalan kaki. Jika dihitung jarak Tasuke dan penulis berjalan kaki sepanjang tinggal dua malam di Rome mungkin jaraknya melebihi 40 km.

Deretan kedai kopi, restoran, butik fesyen dan kedai cenderamata menghiasi ruang bawah segenap bangunan. Gelato atau aiskrim variasi Itali sungguh lazat. Kecur air liur mengenangkan keenakkan makanan Itali. Penulis hanya mampu menjamah piza dan pasta untuk vegetarian sahaja. Namun kelazatannya jauh meninggalkan sebarang makanan Itali yang didapati di Malaysia. Sebagai sebuah destinasi pelancongan, kebanyakan pekerja di sektor perkhidmatan boleh bertutur menggunakan bahasa Inggeris mudah.

Menunggu ketibaan hujung minggu

Setelah mengucapkan selamat tinggal kepada Tasuke, penulis meneruskan perjalanan. Penerbangan selama hampir sejam menyeberangi Teluk Adriatik membawa penulis ke Trieste. Berlatarbelakang kawasan berbukit dan kedudukan di pesisir laut, pemandangan di The Abdus Salam International Centre for Theoretical Physics tidak dapat dikupas dengan kata-kata.

Mengharungi bengkel dari hari ke hari terasa amat memenatkan. Isi kandungan bengkel amat berat untuk dihadam penulis tambahan pula sedang menjalani ibadah puasa. Hujung minggu amatlah dinantikan. Hujung minggu pertama di Trieste, penulis bersama rakan sebengkel dari Bangladesh memutuskan untuk meninjau lokasi-lokasi menarik tempatan. Bandarnya cantik dan susunatur bangunannya tipikal seperti di Rome. Kami turut mengunjung Grotta Gigante yang membawa maksud ‘gua raksasa’. Jaraknya 45 minit menaiki bas dari tempat penginapan. Guiness Books of Records meletakkan gua yang kaya dengan stalaktit dan stalagmit ini sebagai gua pelancongan terbesar di dunia.

Hujung minggu berikutnya, penulis melakukan kembara solo ke Turin, sebuah bandar terletak di bahgian barat laut Itali. Perjalanan menaiki keretapi perlahan selama sembilan jam dan memerlukan dua transit diisi dengan melihat pemandangan. Hajat untuk menonton perlawanan bolasepak pasukan kegemaran penulis, Juventus tidak kesampaian kerana masa yang sangat suntuk dan tidak ramai yang boleh berbahasa Inggeris untuk bertanyakan panduan arah di bandar yang terkenal dengan industri automotif jenama Fiat itu. Hampa, penulis menghabiskan sisa malam dengan menyusuri Via Garibaldi, sebatang jalan untuk pejalan kaki yang dikatakan terpanjang di seluruh Eropah. Ia merupakan syurga membeli-belah dipenuhi dengan berbagai butik berjenama pada harga yang relatifnya lebih murah berbanding dengan tempat-tempat lain di Itali.

1 Syawal di Venice

Sesudah subuh, penulis bertolak pulang dan bercadang untuk meninjau bandar Milan dan Venice, di mana kedua-dua merupakan transit untuk pertukaran keretapi untuk meneruskan perjalanan kembali ke Trieste. Penulis hanya meluangkan sedikit masa di Milan bagi membolehkan mempunyai masa yang lebih untuk bersantai di Venice.

Gelaran ‘The City of Romance’ sememangnya tidak melampau untuk Venice. Kaedah pengangkutan melalui darat di pulau yang dipenuhi hutan bangunan itu hanyalah dengan berjalan kaki. Menyusuri jalan-jalan di Venice adalah seperti melalui ujian pagar-sesat jika tiada bantuan peta. Berbekalkan sedikit modal, pengunjung boleh menggunakan khidmat sampan atau gondola untuk melawati lokasi-lokasi menarik yang dihubungkan dengan jaringan terusan yang berselirat. Terubat syahdu di Aidilfitri berada di destinasi yang penuh ketenangan dan bercirikan antikuiti klasik.

Dan selebihnya

Suasana berhari raya turut dirasai apabila dapat menyambutnya bersama rakan-rakan muslim sebengkel dari Bangladesh, Mesir, Sudan, Syria, Maghribi, Iran dan Pakistan. Kami bersalam-salaman, bertukar-tukar juadah kuih raya dan bercerita amalan menyambut hari mulia itu di negara masing-masing.

Menonton perlawanan bolasepak AC Milan bertemu tuan rumah Udinese sedikit sebanyak mengubati kehampaan di Turin. Terletak di dalam kawasan autonomi yang sama iaitu Friuli-Venezia Giulia, Trieste dan Udin terpisah hanya dua jam dengan perjalanan keretapi.

Saat berpisah dengan rakan-rakan sebengkel dan pensyarah-pensyarah bukanlah mudah. Setelah bersama selama tiga minggu ikatan persahabatan yang terjalin bukannya enteng. Bersantai bersama mahupun bertungkus-lumus menyiapkan projek untuk dibentangkan sehingga lewat malam merapatkan silatulrahim antara kami. Masa yang ada sebelum berlepas dari Rome diisi dengan sedikit membeli belah dan mencari cenderamata untuk kaum keluarga dan sahabat taulan yang dirindui. Bagi penggemar fesyen dan barangan kulit, Itali mungkin dapat memenuhi citarasa mereka.

 

Oleh Salsuwanda Dato' Selamat

 

Staff Login



Online Members

We have 3 guests online